Sudah lama saya mahu menulis tentang pengalaman saya mengucup hajar aswad semasa menunaikan umrah hampir 2 tahun lepas. Kebanyakan kalinya hasrat itu dipendam. Bermacam-macam yang bermain di fikiran dan benak hati. Tapi kali ini saya nekad mahu menulis.
Sebelum berlepas menunaikan umrah, saya menanam azam dan niat untuk memastikan saya berpeluang untuk mengucup hajar aswad. Saya punya sebab tersendiri mengapa saya beria-ia untuk mengucup hajar aswad, walaupun orang kata “Kucup hajar aswad itukan sunat sahaja, kalau membahayakan diri, tinggalkanlah.” Saya percaya, setiap orang pasti akan dipermudahkan oleh Allah untuk melaksanakan ibadat itu walau sehitam mana pun hati orang itu, kerana saya yakin Allah itu sangat Penyayang dan akan memberi peluang kepada hambaNya untuk berbuat kebaikan, asalkan ada iltizam, niat dan dilakukan dengan cara yang betul.
Hari Kedua di Tanah Suci Mekah, saya dan suami sudah memulakan misi untuk mengucup hajar aswad. Sebagai persiapan, kami telah pun mengkaji tips laluan bagi meninggikan peluang untuk mengucup hajar aswad seperti yang dikongsikan oleh Prof Muhd Kamil dalam bukunya Travelog Haji. Manusia dari seluruh dunia bersesak-sesak menuju ke satu penjuru di mana terletaknya Hajar Aswad. Berbadan besar, bertubuh sasa, bertubuh kecil tetapi liat dan keras, semuanya berhimpit-himpit. Ada satu masa saya hampir sampai ke penjuru tersebut tapi tertolak semula ke belakang kerana arus manusia yang datang dari segala sudut. Percubaan diteruskan sehinggalah saya rasa penat tidak berdaya lagi untuk melawan arus-arus dan himpitan manusia yang masing-masing punya kuasa luar biasa kerana semangat yang luar biasa untuk mengucup hajar aswad.
Gagal. Petang itu selepas zohor saya meneruskan lagi misi bersama suami saya. Kali ini kami disapa oleh seseorang yang menghulurkan perkhidmatan untuk membantu membuka laluan untuk sampai ke hajar aswad, tetapi dengan bayaran. Kami menolak kerana ibu saya telah berpesan, jangan sekali-kali termakan dengan tawaran tersebut. Kata ibu saya, untuk mencium hajar aswad, perlulah dengan usaha sendiri. Berbekalkan pesanan ibu saya, kami meneruskan usaha sendiri untuk sampai ke penjuru. Dalam himpitan manusia itu, orang yang menawarkan perkhidmatan membuka laluan itu sedang melakukan tugasnya untuk seseorang yang telah membeli perkhidmatan beliau. Pada saat itu, kami melihat bagaimana kezaliman telah berlaku di hadapan mata atas nama ibadah. Si pembuka laluan bertindak ganas, memijak dan menggigit jemaah-jemaah yang tidak memberi laluan lalu ‘membuka’ laluan untuk pembeli perkhidmatan tadi. Kepala pembeli perkhidmatan tadi ditolak ke arah hajar aswad. Kasar. Pembeli perkhidmatan tadi dapat mencium hajar aswad namun saya tidak pasti sama ada pembeli perkhidmatan itu bergembira dapat mengucup hajar aswad dengan cara yang sebegitu. Saya terkesima. Kecewa kerana kezaliman berlaku di hadapan mata atas nama ibadah. Saya tidak menyalahkan si pembeli perkhidmatan itu kerana dia hanya percaya kepada tawaran perkhidmatan si penjual perkhidmatan. Tetapi silap si pembeli perkhidmatan adalah ingin mengambil jalan singkat untuk menuju ke hajar aswad, sedangkan jemaah lain berhempas pulas ingin menuju ke penjuru tersebut. Saya pasti pembeli perkhidmatan itu akan belajar daripada kesilapan tersebut. Semoga ibadahnya diterima Allah. Kami seterusnya pulang ke hotel dengan misi yang belum tercapai.
Keesokannya, kami masih lagi meneruskan misi. Suami saya kali ini bernasib baik kerana dapat mencium hajar aswad. Saya tertolak ke belakang. Saya sudah mula rasa putus asa. Rasa terlalu banyak dosa. Ada orang dapat mencium dengan sekali percubaan sahaja. Mengapa saya masih belum dapat mencium hajar aswad meskipun berkali-kali percubaan telah dilakukan? Berdosa besarkah saya? Buruk sangatkah hati saya? Suami saya bijak memujuk. Katanya saya boleh melihat perkara tersebut dari sisi pandang yang berbeza. Bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin Allah mahu saya berusaha banyak kali, supaya dosa saya dapat dihapuskan. Mungkin Allah mahu kami melihat kezaliman dalam ibadah yang berlaku dengan mata kepala sendiri supaya dapat dijadikan pedoman di kemudian hari. Mengapa perlu bersangka buruk dengan Allah?
Saya kembali positif. Beristighfar kerana bersangka buruk dengan Allah. Saya berdoa sekali lagi, memohon ampun, bersolat hajat untuk kali ke berapa, supaya dipermudahkan untuk mengucup hajar aswad. Sedang saya termenung, saya tersedar bahawa selama ini saya terlalu bergantung kepada suami untuk memberi perlindungan sepanjang usaha untuk mencium hajar aswad. Pendek kata, dalam tak sedar saya telah berfikiran bahawa, “saya tidak akan dapat mencium hajar aswad sekiranya suami saya tidak membantu saya.” Silap besar. Saya sudah sedar kesilapan saya. Saya membetulkan kembali pemikiran saya. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Suami saya itu hanya pembantu. Hanya dengan izin Allah saya akan dapat mencium hajar aswad. Ada atau tidak suami saya itu bukan penyebab saya dapat mencium hajar aswad.
Saya meneruskan misi, ditemani oleh sang suami. Adegan berhimpit-himpitan itu masih berlaku seperti yang dijangkakan. Suami saya sudah tertolak ke belakang. Saya meneruskan misi berseorangan. Akhirnya, dengan izin Allah, saat itu tiba juga. Saat yang mana saya merasakan seluruh dunia terberhenti pergerakannya. 5 saat yang mana tiada seorang pun menolak saya. Saya akhirnya mendapat peluang untuk mencium hajar aswad dengan tenang, tidak dikasari. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana mengizinkan hamba yang hina ini mencapai sesuatu yang dihajatinya.
Biarkan orang lain dengan pengalaman mereka yang dapat mengucup hajar aswad dengan mudah seolah-oleh Allah membukakan laluan untuk mereka. Tidak perlu didengkikan kelebihan mereka. Tidak perlu dicemburui bahagian mereka. Setiap orang ada bahagian yang berbeza. Sukar atau senang, hakikat nilaian ibadah itu hanya Allah yang tahu. Semoga ibadah kita semua diterima oleh Allah s.w.t.
Pengajaran:
- Niat tidak menghalalkan cara. Tiada jalan singkat menuju kejayaan.
- Bersangka baik dengan Allah
- Tiada tempat pergantungan selain Allah
- Tidak berlakunya sesuatu tanpa izin Allah
- Berusaha kuat dan berdoa untuk mencapai sesuatu
- Semua orang mempunyai peluang dan kebarangkalian yang sama. Kecil, besar, gemuk, kurus, miskin, kaya. Jangan berundur sebelum mencuba. You never know.