Saturday, 18 October 2014

Skim Pelaburan Emas

Ramai orang yang bertanyakan kepada saya tentang pelaburan emas, Darul Emas Perak Berhad (DEPB) yang sangat popular di kalangan kakitangan HSNZ terutamanya Pegawai Perubatan Siswazah sejak tahun lepas.
Saya cuba membuat membuat penyelidikan melalui internet, namun tidak pernah menjumpai walau satu pun penerangan yang boleh saya fahami. Terlalu banyak istilah baru dan asing walaupun untuk seseorang yang telah agak lama berkecimpung dalam dunia pelaburan. Kebanyakan penerangan yang saya jumpai hanya menegaskan bahawa DEPB adalah berorientasikan proses jual beli emas, bukannya pelaburan. Pendek cerita, emas yang dijual oleh DEPB melalui ‘wakalah’ ataupun ejen (dengan harga yang 30-40% lebih tinggi daripada harga pasaran) boleh dibeli balik oleh DEPB dengan harga yang lebih tinggi.
Apabila ditanya oleh netizen (masyarakat dunia internet) kepada mereka yang terlibat dengan jual beli emas DEPB tentang cara DEPB mendapatkan keuntungan sehingga membolehkan pembelian balik (buy-back) emas pada harga lebih tinggi daripada harga beli, jawapan yang diterima hanyalah ‘awak boleh tanya sendiri pengasas DEPB iaitu Tok Belagak ataupun wakalah yang berdekatan.’ Selain itu, mereka juga menegaskan pengalaman mereka sendiri yang telah membeli dan menerima keuntungan dengan cara yang disebutkan. “Saya sendiri dah dapat, takkan diorang tipu kot’’ adalah ayat-ayat biasa yang saya dengari.
Disebabkan terlalu banyak unsur ketidak-jelasan (gharar) dalam modus operandi DEPB dan kemiripannya dengan skim pelaburan Genneva Gold (yang terbukti sebagai skim penipuan yang mana stok emas yang ada pada mereka jelas jauh lebih rendah daripada jumlah nilaian emas yang disimpan oleh pelabur) , hati saya tergerak untuk menyemak dengan bank negara (BNM). Ternyata DEPB tergolong dalam senarai syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia. Disebabkan itulah, saya telah secara konsisten tidak menggalakkan mana-mana individu untuk terlibat dalam urusan jual beli emas mereka ini sejak akhir tahun lepas.
Sebelum nasib DEPB berakhir seperti Genneva Gold dan skim-skim cepat miskin yang lain, saya menasihatkan kepada mereka yang belum terlibat agar menjauhkan diri daripada pelaburan sebegini. Kalimah ‘ I’ve told you so’ terlalu sakit untuk diungkapkan seandainya telah jelas skim pelaburan emas DEPB ini hanyalah satu lagi skim penipuan , sama seperti seribu satu skim penipuan lain yang ada pada hari ini.
Saya kongsikan slide tentang skim penipuan emas yang saya jumpa hasil carian di internet untuk dijadikan panduan bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang pelaburan emas.
Disclaimer: Slide ini adalah hak milik Public Gold Sarawak dan bukannya milik saya.

-Tuan Muhd Fairuz Tuan Ismail-











0 comments:

Post a Comment