Jangan terlalu gembira apabila anak-anak mendapat bilangan A yang banyak dalam UPSR. Anak itu mungkin bijak dari sudut IQ (intellectual quotient). Tetapi untuk berjaya dalam kehidupan perlukan dua nilai Q yang lain iaitu SQ (spiritual quotient) dan EQ (emotional quotient).
Saya melihat sebilangan besar golongan terpelajar membuat keputusan terburu-buru dan kurang tepat dalam kehidupan seperti kahwin lari, berhenti kerja serta merta tanpa ada perancangan untuk kehidupan seterusnya (sama ada dari segi penyambungan pembelajaran atau pekerjaan lain yang akan diminta), mengadu stress bekerja sehingga MIA sedangkan sudah setahun lebih bekerja dan macam-macam lagi contoh yang kadangkala saya rasa tidak masuk akal untuk seorang yang terpelajar bertindak sedemikian.
Generasi mak ayah kita, mereka mungkin tidak ada kelulusan yang tinggi. SPM pun mungkin hanya gred 3. Tapi masih mampu membina keluarga sehingga ke tahap sekarang. Keputusan yang diambil sentiasa ada elemen 'fikir dan kenang'. Maksudnya keputusan itu difikir baik buruknya dan impak terhadap orang sekeliling. Kalau mahu kahwin lari, berkat atau tidak kehidupan...Kalau mahu berhenti kerja tak semena-mena, apa perasaan mak ayah yang menggunung harapan...
Saya lihat cara pemikiran generasi terbaru membimbangkan meskipun bilangan A senggenggam dalam tangan...kotak pemikiran mereka hanya berkisar tentang diri mereka, kemahuan mereka, perasaan mereka. Seolah-olah hidup di dunia ini hanya ada diri mereka sahaja. Secluded...membimbangkan.
Kesimpulan:
- Berusaha untuk bilangan A yang banyak itu perlu, tapi bilangan A yang banyak itu tidak menjamin apa-apa dalam kehidupan. Jangan dipandang rendah anak yang tidak mendapat bilangan A yang banyak. Silap haribulan mereka adalah seorang 'good samaritan' pada masa akan datang.
- IQ, EQ dan SQ, ketiga-tiganya perlu ada untuk berjaya dalam kehidupan. Pada pandangan saya, kalau seseorang itu kurang elemen IQ tetapi kuat elemen EQ dan SQnya, orang ini lebih berjaya dalam kehidupan. Orang jenis ini adalah orang yang berfikir tentang impak kepada orang lain dalam membuat satu-satu keputusan. Mereka ini juga sanggup kerja siang dan malam untuk meraih kejayaan dan sesuap nasi.
- Titipan doa yang terbaik untuk anak-anak bukanlah bilangan A, tetapi supaya mereka menjadi pemimpin orang-orang yang bertaqwa. Hentikanlah perlumbaan bilangan A antara anak-anak kita dan anak-anak kawan kita atau sepupu sepapat kita kerana anak kita bukan kuda lumba yang perlu dipertaruhkan.
Tahniah kepada yang dapat straight A upsr..perjalanan adik-adik masih jauh..
Haruslah peringatan di atas untuk diri saya sendiri terlebih dahulu....