Wednesday, 9 April 2014

Surirumah Vs Ibu bekerja



Kedua-dua golongan surirumah dan golongan ibu bekerja mempunyai hujah dan justifikasi masing-masing dalam membuat pilihan yang sukar ini. Ada juga menyandarkan pilihan yang dibuat dengan nas-nas al-quran dan hadis. Pokoknya tiada salahnya memilih satu diantara dua pilihan ini. Sejarah telah membuktikan kedua-dua golongan ibu ini (surirumah atau bekerja) mampu melahirkan generasi yang cemerlang dari sudut akhlak, ilmu dan agama. Yang penting setiap keputusan yang dibuat perlulah dengan mindset yang betul, bukan disebabkan oleh emosi.
Buat ibu bekerja, khususnya dalam bidang kedoktoran, saya pasti persoalan ini sentiasa bermain-main di fikiran, lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam bidang klinikal. Saya juga tidak terlepas daripada persoalan yang sama.
Barangkali alasan-alasan ini sering bermain di benak fikiran ibu bekerja:
Mengapa saya mahu menjadi surirumah:
1. Saya ingin mendidik anak-anak saya dengan tangan saya sendiri
2. Saya mahu melihat segala perkembangan anak saya daripada kali pertama merangkak, berjalan dan berlari
3. Walaupun saya seorang graduan universiti, saya masih memilih untuk menjadi surirumah. Saya mahu melahirkan 10 orang graduan universiti yang lain, dalam masa yang sama saya bercita-cita menjadikan mereka para huffaz al-quran. Dengan masa yang lebih dengan anak-anak saya berharap dapat melahirkan ummat Nabi Muhammad yang berkualiti. 
4. Saya memilih untuk menjadi surirumah tetapi bekerja dari rumah tanpa ikatan waktu pejabat. Masa yang fleksibel ini memberi ruang kepada saya meluangkan masa bersama dengan keluarga. 
5. Keluarga adalah keutamaan saya.
6. Saya ingin menjadi pendokong perjuangan suami saya. Biarlah suami saya menumpukan perhatian mencari nafkah dan berjuang di jalan Allah. Tinggalkan sahaja urusan anak-anak dengan saya.
7. Walaupun saya surirumah, tidak bermakna saya tidak menjana pendapatan sendiri. Saya juga masih boleh memberi kepada masyarakat dari segi kewangan, idea, dan pengetahuan.
8. Lebih baik melakukan sesuatu yang disukai daripada berterus-terusan melakukan pekerjaan yang tidak disukai.

Cabar pula minda dengan hujah-hujah mengapa saya perlu bekerja/tidak salahnya saya bekerja:
1. Saya telah ditaja oleh rakyat untuk mempelajari bidang ini dan untuk kembali memberi kepada rakyat
2. Saya perlu membantu suami menyara kehidupan keluarga kerana kos kehidupan yang tinggi. Saya ada ramai anak dan adik beradik di kampung yang masih belajar dan memerlukan kewangan. 
3. Pekerjaan saya adalah satu fardhu kifayah. Saya tidak dapat membayangkan sekiranya semua rakan wanita sejawat/sekerja memilih untuk menjadi surirumah. 
4. Anak memang adalah amanah besar kepada kedua ibu bapa. Tapi terdapat amanah-amanah lain di atas muka bumi ini yang perlu diambil kira.
5. Meskipun saya bekerja, saya yakin dengan niat saya bekerja kerana Allah Taala, masa yang saya luangkan bersama-sama anak saya selepas pulang bekerja (walaupun sekejap) adalah berharga dan berkualiti dan juga diberkati Allah (inshaAllah). Dengan itu, didikan yang saya beri, walaupun sekejap inshaAllah dapat membentuk keperibadian anak saya kelak. 
6. Saya juga mahu menjadikan anak saya sebagai seorang hafiz seperti orang lain. Saya yakin dengan keikhlasan saya bekerja, segalanya dipermudahkan oleh Allah. Siapa tahu saya dapat menemui seorang guru atau sekolah yang sesuai untuk mencapaikan cita-cita saya. 
7. Ibu mana yang tidak mahu terlepas melihat perkembangan anak-anaknya. Tapi tidak mengapalah. Semoga pengorbanan saya ini Allah balas dengan sesuatu yang baik di akhirat nanti. Hidup bukan di dunia semata.

----------------------------------
Kesimpulan:

Dalam membuat keputusan, jangan difikirkan/dibandingkan dengan kehidupan orang lain. Hanya kita yang tahu apa yang kita mahukan dalam kehidupan. Dan pastikan keputusan kita memilih itu semuanya berbalik kepada Pencipta kita, bukan sebab ikut-ikutan, emosi atau faktor duniawi.
Buat ibu yang terpaksa bekerja, yakinlah dengan niat yang betul, dan kesungguhan dalam melakukan pekerjaan, inshaAllah Allah akan mempermudahkan kita dalam membesarkan anak-anak.
Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment