Kita hidup dalam dunia yang melihat Islam dengan kaca mata yang salah. Segala yang negatif dinisbahkan kepada Islam. Ianya saban hari digambarkan sebagai agama yang menganjurkan keganasan, menyukai kemunduran, menentang kemajuan dan seribu satu imej negatif lagi.
Maka, tidak hairanlah ramai yang menentang Islam atas salah faham mereka terhadap agama itu sendiri.
Alhamdulillah, pengalaman bersama dengan persatuan dakwah di United Kingdom membuka mata saya dengan menemukan saya dengan 'reverts' (golongan muallaf) yang pelbagai. Bukan sedikit yang mengaku memusuhi Islam sebelum membuat kajian sendiri dan menemui kebenaran, hasil kesedaran yang timbul setelah bertemu dengan umat Islam yang baik akhlaknya.
Pengalaman ini menyedarkan saya bahawa orang-orang/ kumpulan bukan Islam hari ini yang kelihatannya seperti memusuhi Islam, bukanlah musuh yang hakiki.
Golongan ini perlu disantuni (engagement) untuk memberikan peluang mesej Islam yang sebenar sampai kpd mereka.
Mereka haruslah dilihat sebagai sasaran dakwah, bukannya musuh.
Bukankah erti kafir itu ialah berpaling daripada kebenaran. Bolehkah kita menganggap seseorang itu kafir sedangkan mesej Islam yang sebenar belum sampai kepada mereka?
Dengan sebab itu, gaya politik 'engagement', adalah gaya politik yang lebih sesuai di zaman ini. Ia lebih berkesan utk menzahirkan keindahan Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini.
Politik menghukum dan melihat golongan bukan Islam sebagai musuh hakiki, perlulah dijauhi. Ia hanya menyekat kebenaran daripada sampai kepada mereka.