Wednesday, 29 October 2014

Kaya Jiwa

Miskin harta tak semestinya miskin jiwa.
Kaya harta tak semestinya kaya jiwa.
Mesti tengok video ini. 






Tanggungjawab seorang isteri dan ibu

"Every one of you is a shepherd and is responsible for his flock. The leader of people is a guardian and is responsible for his subjects. A man is the guardian of his family and he is responsible for them. A woman is the guardian of her husband’s home and his children and she is responsible for them. The servant of a man is a guardian of the property of his master and he is responsible for it. Surely, every one of you is a shepherd and responsible for his flock.”
Source: Sahih Bukhari 6719, Sahih Muslim 1829



Saturday, 18 October 2014

Skim Pelaburan Emas

Ramai orang yang bertanyakan kepada saya tentang pelaburan emas, Darul Emas Perak Berhad (DEPB) yang sangat popular di kalangan kakitangan HSNZ terutamanya Pegawai Perubatan Siswazah sejak tahun lepas.
Saya cuba membuat membuat penyelidikan melalui internet, namun tidak pernah menjumpai walau satu pun penerangan yang boleh saya fahami. Terlalu banyak istilah baru dan asing walaupun untuk seseorang yang telah agak lama berkecimpung dalam dunia pelaburan. Kebanyakan penerangan yang saya jumpai hanya menegaskan bahawa DEPB adalah berorientasikan proses jual beli emas, bukannya pelaburan. Pendek cerita, emas yang dijual oleh DEPB melalui ‘wakalah’ ataupun ejen (dengan harga yang 30-40% lebih tinggi daripada harga pasaran) boleh dibeli balik oleh DEPB dengan harga yang lebih tinggi.
Apabila ditanya oleh netizen (masyarakat dunia internet) kepada mereka yang terlibat dengan jual beli emas DEPB tentang cara DEPB mendapatkan keuntungan sehingga membolehkan pembelian balik (buy-back) emas pada harga lebih tinggi daripada harga beli, jawapan yang diterima hanyalah ‘awak boleh tanya sendiri pengasas DEPB iaitu Tok Belagak ataupun wakalah yang berdekatan.’ Selain itu, mereka juga menegaskan pengalaman mereka sendiri yang telah membeli dan menerima keuntungan dengan cara yang disebutkan. “Saya sendiri dah dapat, takkan diorang tipu kot’’ adalah ayat-ayat biasa yang saya dengari.
Disebabkan terlalu banyak unsur ketidak-jelasan (gharar) dalam modus operandi DEPB dan kemiripannya dengan skim pelaburan Genneva Gold (yang terbukti sebagai skim penipuan yang mana stok emas yang ada pada mereka jelas jauh lebih rendah daripada jumlah nilaian emas yang disimpan oleh pelabur) , hati saya tergerak untuk menyemak dengan bank negara (BNM). Ternyata DEPB tergolong dalam senarai syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia. Disebabkan itulah, saya telah secara konsisten tidak menggalakkan mana-mana individu untuk terlibat dalam urusan jual beli emas mereka ini sejak akhir tahun lepas.
Sebelum nasib DEPB berakhir seperti Genneva Gold dan skim-skim cepat miskin yang lain, saya menasihatkan kepada mereka yang belum terlibat agar menjauhkan diri daripada pelaburan sebegini. Kalimah ‘ I’ve told you so’ terlalu sakit untuk diungkapkan seandainya telah jelas skim pelaburan emas DEPB ini hanyalah satu lagi skim penipuan , sama seperti seribu satu skim penipuan lain yang ada pada hari ini.
Saya kongsikan slide tentang skim penipuan emas yang saya jumpa hasil carian di internet untuk dijadikan panduan bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang pelaburan emas.
Disclaimer: Slide ini adalah hak milik Public Gold Sarawak dan bukannya milik saya.

-Tuan Muhd Fairuz Tuan Ismail-











Mengapa perlu berduka?

Isu perkongsian kegembiraan dalam facebook bukan isu baru. Ada orang kata tidak perlu menayangkan kegembiraan kehidupan masing-masing. Katanya hati orang yang tidak bernasib baik akan terluka.
Saya punya pandangan yang berbeza. Apabila saya gembira, saya memang suka untuk berkongsi dengan orang lain. Saya juga suka melihat kegembiraan orang lain. Contohnya saya tidak dapat menunaikan haji tahun ini, tapi saya tetap suka melihat orang memuatnaik gambar-gambar sekitar pengalaman haji mereka. Mengapa perlu berduka?
Anak, pasangan hidup, kekayaan, harta, kejayaan; itu semua bahagian masing-masing yang dikurniakan Allah. Tidak adanya anak tidak sesekali menjatuhkan martabat seseorang seperti mana adanya anak tidak sama sekali menaikkan martabat seseorang. Tidak adanya harta kekayaan tidak menjadikan anda miskin hati, seperti mana kayanya seseorang tidak menjadikan anda seorang yang kaya jiwa.
Selagi perkongsian itu tidak bertentangan dengan syariat, berlapang dadalah. Tidakkah kita gembira melihat saudara kita bergembira?
Bergembiralah. Yang paling dekat dengan Tuhan adalah orang yang bertaqwa. Tidak ada apa yang perlu dicemburui. Ria', ujub, takbur? Biarkan Tuhan sahaja yang menilai. Siapa kita untuk menjadi neraca Tuhan?


Wednesday, 15 October 2014

Batu Hitam Kemerahan Itu...

Sudah lama saya mahu menulis tentang pengalaman saya mengucup hajar aswad semasa menunaikan umrah hampir 2 tahun lepas. Kebanyakan kalinya hasrat itu dipendam. Bermacam-macam yang bermain di fikiran dan benak hati. Tapi kali ini saya nekad mahu menulis.
Sebelum berlepas menunaikan umrah, saya menanam azam dan niat untuk memastikan saya berpeluang untuk mengucup hajar aswad. Saya punya sebab tersendiri mengapa saya beria-ia untuk mengucup hajar aswad, walaupun orang kata “Kucup hajar aswad itukan sunat sahaja, kalau membahayakan diri, tinggalkanlah.” Saya percaya, setiap orang pasti akan dipermudahkan oleh Allah untuk melaksanakan ibadat itu walau sehitam mana pun hati orang itu, kerana saya yakin Allah itu sangat Penyayang dan akan memberi peluang kepada hambaNya untuk berbuat kebaikan, asalkan ada iltizam, niat dan dilakukan dengan cara yang betul.
Hari Kedua di Tanah Suci Mekah, saya dan suami sudah memulakan misi untuk mengucup hajar aswad. Sebagai persiapan, kami telah pun mengkaji tips laluan bagi meninggikan peluang untuk mengucup hajar aswad seperti yang dikongsikan oleh Prof Muhd Kamil dalam bukunya Travelog Haji. Manusia dari seluruh dunia bersesak-sesak menuju ke satu penjuru di mana terletaknya Hajar Aswad. Berbadan besar, bertubuh sasa, bertubuh kecil tetapi liat dan keras, semuanya berhimpit-himpit. Ada satu masa saya hampir sampai ke penjuru tersebut tapi tertolak semula ke belakang kerana arus manusia yang datang dari segala sudut. Percubaan diteruskan sehinggalah saya rasa penat tidak berdaya lagi untuk melawan arus-arus dan himpitan manusia yang masing-masing punya kuasa luar biasa kerana semangat yang luar biasa untuk mengucup hajar aswad.
Gagal. Petang itu selepas zohor saya meneruskan lagi misi bersama suami saya. Kali ini kami disapa oleh seseorang yang menghulurkan perkhidmatan untuk membantu membuka laluan untuk sampai ke hajar aswad, tetapi dengan bayaran. Kami menolak kerana ibu saya telah berpesan, jangan sekali-kali termakan dengan tawaran tersebut. Kata ibu saya, untuk mencium hajar aswad, perlulah dengan usaha sendiri. Berbekalkan pesanan ibu saya, kami meneruskan usaha sendiri untuk sampai ke penjuru. Dalam himpitan manusia itu, orang yang menawarkan perkhidmatan membuka laluan itu sedang melakukan tugasnya untuk seseorang yang telah membeli perkhidmatan beliau. Pada saat itu, kami melihat bagaimana kezaliman telah berlaku di hadapan mata atas nama ibadah. Si pembuka laluan bertindak ganas, memijak dan menggigit jemaah-jemaah yang tidak memberi laluan lalu ‘membuka’ laluan untuk pembeli perkhidmatan tadi. Kepala pembeli perkhidmatan tadi ditolak ke arah hajar aswad. Kasar. Pembeli perkhidmatan tadi dapat mencium hajar aswad namun saya tidak pasti sama ada pembeli perkhidmatan itu bergembira dapat mengucup hajar aswad dengan cara yang sebegitu. Saya terkesima. Kecewa kerana kezaliman berlaku di hadapan mata atas nama ibadah. Saya tidak menyalahkan si pembeli perkhidmatan itu kerana dia hanya percaya kepada tawaran perkhidmatan si penjual perkhidmatan. Tetapi silap si pembeli perkhidmatan adalah ingin mengambil jalan singkat untuk menuju ke hajar aswad, sedangkan jemaah lain berhempas pulas ingin menuju ke penjuru tersebut. Saya pasti pembeli perkhidmatan itu akan belajar daripada kesilapan tersebut. Semoga ibadahnya diterima Allah. Kami seterusnya pulang ke hotel dengan misi yang belum tercapai.
Keesokannya, kami masih lagi meneruskan misi. Suami saya kali ini bernasib baik kerana dapat mencium hajar aswad. Saya tertolak ke belakang. Saya sudah mula rasa putus asa. Rasa terlalu banyak dosa. Ada orang dapat mencium dengan sekali percubaan sahaja. Mengapa saya masih belum dapat mencium hajar aswad meskipun berkali-kali percubaan telah dilakukan? Berdosa besarkah saya? Buruk sangatkah hati saya? Suami saya bijak memujuk. Katanya saya boleh melihat perkara tersebut dari sisi pandang yang berbeza. Bersangka baiklah dengan Allah. Mungkin Allah mahu saya berusaha banyak kali, supaya dosa saya dapat dihapuskan. Mungkin Allah mahu kami melihat kezaliman dalam ibadah yang berlaku dengan mata kepala sendiri supaya dapat dijadikan pedoman di kemudian hari. Mengapa perlu bersangka buruk dengan Allah?
Saya kembali positif. Beristighfar kerana bersangka buruk dengan Allah. Saya berdoa sekali lagi, memohon ampun, bersolat hajat untuk kali ke berapa, supaya dipermudahkan untuk mengucup hajar aswad. Sedang saya termenung, saya tersedar bahawa selama ini saya terlalu bergantung kepada suami untuk memberi perlindungan sepanjang usaha untuk mencium hajar aswad. Pendek kata, dalam tak sedar saya telah berfikiran bahawa, “saya tidak akan dapat mencium hajar aswad sekiranya suami saya tidak membantu saya.” Silap besar. Saya sudah sedar kesilapan saya. Saya membetulkan kembali pemikiran saya. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Tiada tempat bergantung melainkan Allah s.w.t. Suami saya itu hanya pembantu. Hanya dengan izin Allah saya akan dapat mencium hajar aswad. Ada atau tidak suami saya itu bukan penyebab saya dapat mencium hajar aswad.
Saya meneruskan misi, ditemani oleh sang suami. Adegan berhimpit-himpitan itu masih berlaku seperti yang dijangkakan. Suami saya sudah tertolak ke belakang. Saya meneruskan misi berseorangan. Akhirnya, dengan izin Allah, saat itu tiba juga. Saat yang mana saya merasakan seluruh dunia terberhenti pergerakannya. 5 saat yang mana tiada seorang pun menolak saya. Saya akhirnya mendapat peluang untuk mencium hajar aswad dengan tenang, tidak dikasari. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana mengizinkan hamba yang hina ini mencapai sesuatu yang dihajatinya.
Biarkan orang lain dengan pengalaman mereka yang dapat mengucup hajar aswad dengan mudah seolah-oleh Allah membukakan laluan untuk mereka. Tidak perlu didengkikan kelebihan mereka. Tidak perlu dicemburui bahagian mereka. Setiap orang ada bahagian yang berbeza. Sukar atau senang, hakikat nilaian ibadah itu hanya Allah yang tahu. Semoga ibadah kita semua diterima oleh Allah s.w.t.
Pengajaran:
- Niat tidak menghalalkan cara. Tiada jalan singkat menuju kejayaan.
- Bersangka baik dengan Allah
- Tiada tempat pergantungan selain Allah
- Tidak berlakunya sesuatu tanpa izin Allah
- Berusaha kuat dan berdoa untuk mencapai sesuatu
- Semua orang mempunyai peluang dan kebarangkalian yang sama. Kecil, besar, gemuk, kurus, miskin, kaya. Jangan berundur sebelum mencuba. You never know.


Tuesday, 7 October 2014

Mendidik Anak Solat Fasa Umur 0-2 Tahun

1) Sentiasa cakap pada anak yang kita nak pergi solat sekejap (walaupun kita rasa dia tak faham satu habuk pun lagi). Mulakan sejak habis pantang lagi.
2) Solat depan anak, biar dia nampak kerana sifat budak-budak adalah suka mengajuk perbuatan orang berpengaruh dalam hidupnya iaitu ibu/bapa/tok/nenek/abang/kakak
3) Setiap kali azan dalam tv atau dari masjid, bagitahu dia "azan, bila azan, kena solat." Tiap-tiap hari ulang benda sama. Sepanjang azan dalam tv tu ada orang ambil wudhu, solat dan sebagainya, cerita pada anak itu apa yang mereka sedang lakukan.
4) Kalau ada masa dan kelapangan, bawa anak ke masjid. Dukung anak bila perlu. Biar dia biasa tengok orang solat.
5) Bila dah besar sikit dah boleh berdiri, setiap kali kita nak solat, ajak dia solat sekali. Bentangkan sejadah khas di sebelah kita. Dia nak solat ke tidak itu belakang kira. Biasanya dia nak solat atas sejadah kita juga. Depan kita. Layankan aje.
6) Ini yang paling penting. Doa. Setiap hari mesti doa. Memandangkan doa ini merupakan sebahagian daripada ayat-ayat al-quran, maka ada dua sebab kenapa doa ini mesti dibaca untuk memastikan keberjayaan anak mendirikan solat:
- doa seorang ibu/bapa adalah makbul
- al-quran itu sendiri adalah mukjizat
Surah Ibrahim ayat 40.
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
“Rabbij ‘al nii muqiimas solaati, wa min zurriyyatii, rabbanaa wataqobbal Du’aa’…..
[14:40] “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah permohonan doa kami."
7) Ulang setiap kali anak ikut solat: "xxx ni soleh, rajin solat, sayang Allah." Ulang hari-hari kerana kata-kata ibu dan bapa itu doa.