Thursday, 12 December 2013

Kesempurnaan



Saya bersekolah di sekolah yang mementingkan kesempurnaan. Setiap pelajar ditugaskan untuk mengemas dorm masing-masing setiap hari dengan tugasan yang berbeza-beza, mengikut rota yang telah dibuat oleh Ketua Kebersihan Dorm. Setiap tugasan yang telah siap dilakukan akan diperiksa oleh Ketua Kebersihan Dorm atau Ketua Dorm sebelum seseorang boleh dilepaskan untuk pergi ke sarapan pagi. Kalau tidak menepati piawaian, tugasan itu perlu disempurnakan sehingga piawaian tercapai. Sebagai contoh:

1) Sidai tuala di rak tuala: Sidai bukan sekadar sidai. Tuala perlu disusun mengikut tona warna. Saiz perlu dilipat supaya lebih kurang sama besarnya walapun pada asalnya ada tuala yang bersaiz lebih kecil atau lebih besar berbanding yang lain. Setelah dilipat mengikut saiz, disusun mengikut tona warna, hujung tuala yang disidai perlu dipastikan sama ‘level’. Tiada yang terpendek, atau terpanjang.
2) Katil: Bagi yang bertugas menjaga katil, ada dua perkara yang perlu diambil kira iaitu susunan katil dan ketegangan cadar. Hujung katil perlu dipastikan berada dalam satu baris selari; petak lantai dijadikan kayu ukur. Cadar pula perlu dipastikan tegang setegang-tegangnya. Kata senior saya, ‘tegang tu mesti tegang sampai bila kita jatuhkan duit syiling atas cadar, duit syiling tu melantun balik.’
3) Menyusun selipar tandas: Sama seperti menyusun tuala. Susunan perlu mengikut saiz dan warna.

Meskipun sekolah ini bukan sekolah agama, didikannya telah berjaya menerapkan konsep itqan ke dalam diri setiap pelajarnya. Cara didikan sekolah menengah saya itu memberi kesan kepada cara kerja saya sekarang. Terima kasih sekolah dan seniors yang telah memulakan tradisi tersebut. Jasamu dikenang.