Satu-satunya surah panjang yang mempunyai satu tema di sepanjang-panjang surah ialah surah Yusuf, iaitu cerita tentang Nabi Yusuf. Berbeza dengan surah-surah panjang lain seperti surah Maryam, Yunus, Al-Baqarah dan sebagainya yang mempunyai pelbagai tema dalam satu-satu surah.
Antara surah favourite saya adalah surah Yusuf, bukan kerana saya mahukan anak yang cantik atau kacak. Kecintaan saya kepada surah Yusuf terbentuk setelah mendengar siri Towards Understanding Surah Yusuf oleh Yasir Qadhi (sebanyak 20 parts, selama 20-25 minit setiap part) yang boleh ditonton di youtube.
Ia adalah satu kisah yang mesti diceritakan kepada anak-anak kita nanti kerana ia adalah sebaik-baik kisah, seperti yang ternukil dalam surah Yusuf ayat 3 yang berbunyi:
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَٰفِلِينَ
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.”
Bagi yang mempunyai masalah kelajuan internet yang rendah, saya sarankan dibaca transcript video-video tersebut di laman web berikut (tetapi tak sama perasaannya dengan mendengar sendiri siri-siri Towards Understanding Surah Yusuf):
Moga-moga kita semua diberi kelapangan masa dan kekuatan untuk mendalami tafsir Surah Yusuf ini, bukan sekadar terjemahan Surah Yusuf. Begitu juga dengan surah-surah yang lain.
Ini ayat terakhir Surah Yusuf, penutup perkongsian saya pada malam ini:
لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.